KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) ­­ Pengeluar dan pengeksport kondom serta aksesori penjagaan bayi, O&C Resources Bhd (OCR) telah menerima kelulusan daripada para pemegang sahamnya bagi menceburi bidang  pembangunan hartanah.

Syarikat itu juga telah mendapat kelulusan mereka untuk cadangan penerbitan hak saham sehingga 735.07 juta saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus bagi mengumpul dana dalam memenuhi kos pembangunan projek hartanahnya.

“OCR dijangka menambah hasil kasar minimum dan maksimum, masing­masing sebanyak RM8.62 juta dan RM36.75 juta, di mana di bawah senario maksimum, sejumlah RM3 juta akan digunakan bagi kerja­kerja pembinaan dan RM32.47 juta untuk aktiviti pembangunan hartanah,” kata OCR dalam satu kenyataan.

Bakinya akan digunakan untuk anggaran perbelanjaan yang berkaitan dengan eksesais korporat.

Menurut syarikat itu, ia percaya kepelbagaian dalam bisnes akan meningkatkan prospek dan kedudukan kewangan serta mengurangkan pergantungan kepada  aktiviti perkilangan yang sedia ada.

BERNAMA