KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Takaso Resources Bhd mengambil alih 50 peratus kepentingan dalam A.W. Impian Land Sdn Bhd (AWIL) bernilai RM6 juta daripada vendor Tan Teck Ang dan Chen Ling Wah.

AWIL mempunyai dua bidang tanah pegangan pajakan di Tempat Kampong Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, dan cadangan pengambilalihan itu sebahagian daripada pelan Takaso untuk mempelbagaikan perniagaannya dalam sektor pembangunan hartanah, menurut Takaso dalam kenyataan di sini Selasa.

Pengarah Eksekutif Takaso Billy Ong Kah Hoe berkata AWIL telah menerima kelulusan bagi pelan pembangunan untuk dua bidang tanah tersebut, dan Takaso akan mengemukakan pindaan bagi Perintah Pembangunan (DO).

Beliau berkata dengan pindaan tersebut, pembangunan baharu itu akan terdiri daripada tiga blok dengan 39 unit rumah bandar tiga tingkat beserta  kemudahan dan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM45.4 juta.

Bagaimanapun, pembangunan itu masih tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan.

Ong menjangka cadangan pembangunan itu akan bermula dalam tempoh setahun dari tarikh semua kelulusan diperoleh, dengan tempoh siap dijangka tiga tahun dari tarikh pembinaan bermula.

“Kayu Ara menyediakan potensi pembangunan hartanah yang besar dalam beberapa tahun ini berikutan kekurangan tanah di Petaling Jaya.

“Jualan oleh pemaju lain di Kayu Ara amat menggalakkan, dan kami percaya pengambilalihan baharu kami akan meningkatkan pendapatan syarikat kami pada masa akan datang,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan semula syarikat itu dengan identiti korporat baharu, ia turut menerima kelulusan pemegang saham untuk menukar namanya kepada O&C Resources Bhd.

— BERNAMA